Sebagaimana yang kita sedia maklum tujuan utama undang-undang perkhidmatan di wujudkan adalah untuk menjamin dan menjaga mutu tatatertib dan disiplin setiap anggota tentera berada di tahap yang terbaik. Tetapi malangnya usaha untuk menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan dengan sistem perundangan yang diamalkan di dalam ATM adalah amat terhad sekali. Oleh yang demikian adalah diharapkan dengan kewujudan blog ini akan dapat membantu warga ATM untuk memahami dengan lebih mendalam lagi berhubung dengan hal-hal yang melibatkan perundangan tentera.
Perkhidmatan tentera adalah merupakan satu perkhidmatan yang boleh di anggap unik jika dibandingkan dengan mana-mana jabatan atau perkhidmatan lain di dalam perkhidmatan kerajaan. Keunikan ini terserlah dengan kewujudan undang -undang khas yang melibatkan tatatertib dan disiplin anggota tentera itu sendiri. Sebagai seorang anggota tentera , seseorang itu bukan hanya terikat dengan sistem perundangan negara yang lain sebagaimana yang lazimnya berlaku ke atas mana-mana warganegara, malah ia juga terikat dengan sistem perundangan ATM.
Sistem perundangan tentera yang diguna pakai pada hari ini adalah berdasarkan kepada sistem perundangan tentera British yang terdahulu yang dikenali sebagai Queen’s Regulations for Army 1955. Setelah negara ini mencapai kemerdekaan perundangan British itu telah diadaptasikan dan telah dijadikan akta oleh Parlimen dan dikenali sebagai Akta Angkatan Tentera 1972 ( Akta 77).
Sumber rujukan utama yang digunakan pakai di dalam sistem perundangan tentera pada hari ini adalah seperti berikut :
a. Akta Angkatan Tentera 1972 ( AKTA 77).
b. Peraturan - Peraturan Angkatan Tentera (HUKUMAN MEDAN) 1975.
c. Peraturan - Peraturan Angkatan Tentera (BIDANG KUASA TERUS) 1976.
d. Kaedah - Kaedah Angkatan Tentera (LEMBAGA SIASATAN) 1976.
e. Kaedah - Kaedah Angkatan Tentera (PENJARAAN DAN TAHANAN) 1976.
f. Kaedah - Kaedah Angkatan Tentera (MAHKAMAH TENTERA) 1976.
g. Polisi dan Arahan Semasa MAT, PAT dan Panglima - Panglima Perkhidmatan.
BIDANGKUASA TENTERA
Sumber-sumber rujukan yang sepertimana dinyatakan di atas adalah merupakan sumber utama yang menyatakan dan membincangkan bidang kuasa tentera di dalam mengendalikan sistem keadilan tentera. Bidang kuasa tentera mempunyai makna yang berbeza dalam konteks yang berlainan. Ia meliputi salah satu atau semua aspek-aspek berikut:
a. Kuasa dan kebenaran untuk menguatkuasakan undang-undang tentera.
b. Pentadbiran undang-undang tentera.
c. Bidang kuasa agensi tentera untuk membicarakan sesuatu kes.
MEREKA YANG TERTAKLUK KEPADA UNDANG-UNDANG TENTERA
Bidang kuasa tentera meliputi semua pegawai dan anggota-anggota yang tertakluk kepada undang-undang perkhidmatan sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 209 hingga Seksyen 213 Akta AT 1972. Mereka yang tertakluk adalah seperti berikut:
a. Semua pegawai dan anggota di dalam perkhidmatan tetap.
b. Semua pegawai dan anggota di dalam pasukan simpanan tetap semasa dalam tugas.
c. Semua pegawai dan anggota pasukan sukarela semasa dalam tugas.
d. Pegawai dan anggota pasukan asing yang ditumpangkan ke ATM yang tertakluk kepada 'Visiting Forces Act, 1960'.
e. Orang awam yang diambil bekerja atau yang berkhidmat atau menyertai angkatan tetap semasa dalam perkhidmatan giat. (Seksyen 3 Akta AT 1972 - Perkhidmatan Giat ertinya pasukan itu sedang bertempur atau berhadapan dengan musuh atau menjalankan gerakan-gerakan yang dijalankan terhadap pemberontak-pemberontak komunis di Semenanjung Malaysia. Seseorang daripada pasukan yang berada dalam perkhidmatan giat, pergi bercuti ke sesuatu kawasan di mana keadaan perkhidmatan giat tidak ada akan masih kekal dalam perkhidmatan giat dalam tempoh ia bercuti itu, jika ia tidak ditugaskan kepada sesuatu pasukan yang tidak dalam perkhidmatan giat).
f. Bekas tentera, yang mana semasa dalam perkhidmatan telah melakukan kesalahan yang boleh dibicarakan oleh mahkamah tentera, atau disyaki dengan munasabah telah melakukan kesalahan, dan berkaitan dengan ini, mereka masih boleh diletakkan dalam tangkapan dan boleh dihukum oleh mahkamah tentera walaupun mereka telah berhenti daripada perkhidmatan, tetapi perbicaraan ke atas mereka hendaklah dimulakan dalam masa 3 bulan selepas mereka tidak lagi tertakluk kepada undang-undang perkhidmatan (berhenti/ROD) sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 143(1) dan Seksyen 144(3) Akta AT 1972.
g. Anggota yang melakukan kesalahan semasa dalam tangkapan atau tahanan, walaupun ketika itu tempoh perkhidmatannya telah tamat. Tetapi sekatan masa untuk perbicaraan mesti dipatuhi.
AGENSI PENGUATKUASAAN.
Agensi - agensi yang mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan bidang kuasa keadilan tentera adalah seperti berikut:
a. Pihak Berkuasa Atasan Yang Berkenaan, (PBAYB) Pegawai Memerintah atau Pemerintah, Komander Detacmen dan Komander Rendah apabila diwakilkan kuasa.
b. Mahkamah Tentera.
Mengikut Seksyen 2, dan Seksyen 101 (1) Akta AT 1972, Peraturan 4,5,6 dan 11 PPAT (Bidang Kuasa Terus) 1976, seseorang yang mempunyai kuasa Pegawai Memerintah adalah Pegawai, walau apa jua pangkatnya yang secara langsung memerintah pasukan di mana ia berkhidmat/bertugas atau yang dilantik dan berhubung dengan seseorang yang dituduh atas sesuatu kesalahan ertinya Pegawai yang mempunyai kuasa untuk memerintah OKT itu.
Pada kebiasaannya, ianya adalah seorang Ketua Staf sesuatu formasi atau Pegawai Memerintah sesuatu pasukan besar atau Pegawai Pemerintah sesuatu pasukan kecil yang berkhidmat secara bebas, atau penggantinya yang diisytiharkan dengan sah.
Bagi Komander Detacmen, mengikut Peraturan 7 PPAT (Bidang Kuasa Terus) 1976, kuasa penuh Pegawai Memerintah boleh diberi, tetapi jika ia berpangkat lebih rendah daripada pangkat Mejar, Pegawai Memerintahnya atau Pihak Berkuasa Atasan boleh mengehadkan kuasa yang diwakilkan jika difikirkan perlu.
Bagi Komander Rendah pula, mengikut Peraturan 8 PPAT (Bidang Kuasa Terus) 1976, Pegawai Memerintah boleh mewakilkan, walau apa jua pangkatnya, kuasa untuk menyiasat dan menguruskan secara terus pertuduhan-pertuduhan yang boleh diuruskannya sendiri di bawah Peraturan 12 PPAT (Bidang Kuasa Terus) 1976; dengan syarat perwakilan itu tidak termasuk:
a. Kuasa bagi menahan OKT untuk dibicarakan oleh Mahkamah Tentera.
b. Kuasa bagi memerintah ringkasan keterangan diambil atau cabutan keterangan dibuat.
c. Tidak boleh memberi hukuman ke atas PTT Kanan yang berpangkat atas daripada Koperal.