PENAFIAN

Blog ini membincangkan secara umum isu-isu berkaitan dengan sistem perundangan tentera. apa juga yangterkandung di dalam blog ini adalah pendapat peribadi penulis berkaitan sesuatu isu dan TIDAK BOLEH dijadikan sebagai satu rujukan yang sah (AUTHORITY) di dalam apa juga prosiding perundangan

Saturday, 5 February 2011

ISU TANGKAPAN

Sering kali anggota yang disyaki melakukan kesalahan sebagaimana yang telah di nyatakan di bawah Bahagian V Akta Angkatan Tentera 1972 (AKTA 77) akan  dikenakan tangkapan.  Walau bagaimanapun sering kali mereka-mereka yang  telah diletakan di bawah tangkapan itu sendiri tidak mengerti apakah jenis tangkapan dan di bawah kuasa manakah ianya dijalankan serta apakah hak-hak mereka.

Isu yang sama juga biasanya timbul terhadap pihak yang membuat tangkapan. Terdapat di antara  mereka yang membuat tangkapan tersebut tidak  pasti dari mana kuasa membuat tangkapan itu timbul dan bagaimanakah hendak mengendalikan anggota yang telah ditangkap itu. Perkara ini akhirnya banyak menimbulkan kes-kes penangkapan yang tidak sah (unlawful arrest). 

Terdapat banyak kes-kes yang telah dilaporkan yang mana melibatkan kes tangkapan yang tidak sah. Terdapat juga kes-kes sebegini yang telah dirujuk kepada pihak Mahkamah Tinggi untuk mendapat perintah”habes corpus” untuk melepaskan orang yang telah ditangkap itu.

Sebelum melaksanakan sesuatu tangkapan ke atas mana-mana anggota yang disyaki telah melakukan kesalahan, perkara-perkara berikut hendaklah diketahui oleh pihak yang membuat tangkapan :

a.      Apa kuasa yang membenarkan tangkapan tersebut dibuat ?
b.      Siapakah yang boleh melaksanakan kuasa tangkapan tersebut ?
c.       Bagaimanakah tangkapan tersebut harus dilaksanakan ?
d.      Adakah tangkapan itu untuk tujuan penyiasatan atau tujuan perbicaraan?
e.      Berapa lama  seseorang itu boleh diletakkan di dalam tangkapan ?
f.        Apakah hak-hak yang ada kepada orang yang hendak ditangkap ?
g.      Apakah bentuk tangkapan yang hendak dikenakan ? Adakah tangkapan rapi atau tangkapan longgar ?
h.      Adakah perlu anggota yang ditangkap itu dikenakan sekatan diri (digari) ?
i.        Apakah tahap menggunakan kekerasan yang sepatutnya diperlukan di dalam melaksanakan tangkapan tersebut ?
j.        Apakah tindakan dan prosedur seterusnya yang harus dilakukan selepas tangkapan di buat ?

Pada dasarnya penetapan bahawa sesuatu penangkapan itu telah dibuat secara sah atau tidak sah adalah sesuatu perkara yang bergantung kepada banyak faktor. Kesahihan sesuatu tangkapan itu secara umumnya boleh diketahui dengan melihat pelaksanaan kuasa-kuasa perundangan yang telah di gariskan di dalam melaksanakan sesuatu tangkapan.  Sesuatu tangkapan yang tidak sah yang mana telah mencabuli peruntukan perundangan sedia ada boleh menyebabkan sesuatu tangkapan itu dianggap sebagai satu tangkapan yang tidak sah (unlawful arrest) dan ia membolehkan orang yang di tanggap itu mengambil tindakan perundangan 
ke atas pihak yang melaksanakan tangkapan.

Nota : Habeas corpus (Latin bermakna "you are to have the body") adalah writ atau tindakan perundangan yang mana  orang yang ditangkap boleh dilepaskan dari satu tangkapan yang tidak sah di sisi undang-undang.