PENAFIAN

Blog ini membincangkan secara umum isu-isu berkaitan dengan sistem perundangan tentera. apa juga yangterkandung di dalam blog ini adalah pendapat peribadi penulis berkaitan sesuatu isu dan TIDAK BOLEH dijadikan sebagai satu rujukan yang sah (AUTHORITY) di dalam apa juga prosiding perundangan

Saturday, 5 February 2011

ISU TANGKAPAN

Sering kali anggota yang disyaki melakukan kesalahan sebagaimana yang telah di nyatakan di bawah Bahagian V Akta Angkatan Tentera 1972 (AKTA 77) akan  dikenakan tangkapan.  Walau bagaimanapun sering kali mereka-mereka yang  telah diletakan di bawah tangkapan itu sendiri tidak mengerti apakah jenis tangkapan dan di bawah kuasa manakah ianya dijalankan serta apakah hak-hak mereka.

Isu yang sama juga biasanya timbul terhadap pihak yang membuat tangkapan. Terdapat di antara  mereka yang membuat tangkapan tersebut tidak  pasti dari mana kuasa membuat tangkapan itu timbul dan bagaimanakah hendak mengendalikan anggota yang telah ditangkap itu. Perkara ini akhirnya banyak menimbulkan kes-kes penangkapan yang tidak sah (unlawful arrest). 

Terdapat banyak kes-kes yang telah dilaporkan yang mana melibatkan kes tangkapan yang tidak sah. Terdapat juga kes-kes sebegini yang telah dirujuk kepada pihak Mahkamah Tinggi untuk mendapat perintah”habes corpus” untuk melepaskan orang yang telah ditangkap itu.

Sebelum melaksanakan sesuatu tangkapan ke atas mana-mana anggota yang disyaki telah melakukan kesalahan, perkara-perkara berikut hendaklah diketahui oleh pihak yang membuat tangkapan :

a.      Apa kuasa yang membenarkan tangkapan tersebut dibuat ?
b.      Siapakah yang boleh melaksanakan kuasa tangkapan tersebut ?
c.       Bagaimanakah tangkapan tersebut harus dilaksanakan ?
d.      Adakah tangkapan itu untuk tujuan penyiasatan atau tujuan perbicaraan?
e.      Berapa lama  seseorang itu boleh diletakkan di dalam tangkapan ?
f.        Apakah hak-hak yang ada kepada orang yang hendak ditangkap ?
g.      Apakah bentuk tangkapan yang hendak dikenakan ? Adakah tangkapan rapi atau tangkapan longgar ?
h.      Adakah perlu anggota yang ditangkap itu dikenakan sekatan diri (digari) ?
i.        Apakah tahap menggunakan kekerasan yang sepatutnya diperlukan di dalam melaksanakan tangkapan tersebut ?
j.        Apakah tindakan dan prosedur seterusnya yang harus dilakukan selepas tangkapan di buat ?

Pada dasarnya penetapan bahawa sesuatu penangkapan itu telah dibuat secara sah atau tidak sah adalah sesuatu perkara yang bergantung kepada banyak faktor. Kesahihan sesuatu tangkapan itu secara umumnya boleh diketahui dengan melihat pelaksanaan kuasa-kuasa perundangan yang telah di gariskan di dalam melaksanakan sesuatu tangkapan.  Sesuatu tangkapan yang tidak sah yang mana telah mencabuli peruntukan perundangan sedia ada boleh menyebabkan sesuatu tangkapan itu dianggap sebagai satu tangkapan yang tidak sah (unlawful arrest) dan ia membolehkan orang yang di tanggap itu mengambil tindakan perundangan 
ke atas pihak yang melaksanakan tangkapan.

Nota : Habeas corpus (Latin bermakna "you are to have the body") adalah writ atau tindakan perundangan yang mana  orang yang ditangkap boleh dilepaskan dari satu tangkapan yang tidak sah di sisi undang-undang.

PENGENALAN KEPADA UNDANG-UNDANG TENTERA


Sebagaimana yang kita sedia maklum tujuan utama undang-undang perkhidmatan di wujudkan adalah untuk menjamin dan menjaga mutu tatatertib dan disiplin setiap anggota tentera berada di tahap yang terbaik.  Tetapi malangnya  usaha untuk menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan dengan sistem perundangan yang diamalkan di dalam ATM adalah amat terhad sekali. Oleh yang demikian adalah diharapkan dengan kewujudan  blog  ini akan dapat membantu warga ATM untuk memahami dengan lebih mendalam lagi berhubung dengan hal-hal yang melibatkan perundangan tentera.

Perkhidmatan tentera adalah merupakan satu  perkhidmatan  yang boleh di anggap unik jika dibandingkan dengan mana-mana jabatan atau perkhidmatan lain di dalam perkhidmatan kerajaan. Keunikan ini terserlah dengan kewujudan undang -undang khas yang melibatkan tatatertib dan disiplin anggota tentera itu sendiri. Sebagai seorang anggota tentera , seseorang itu bukan hanya terikat dengan sistem perundangan negara yang lain sebagaimana yang lazimnya berlaku ke atas mana-mana warganegara, malah ia juga terikat dengan  sistem perundangan ATM.

Sistem perundangan tentera yang diguna pakai pada hari ini adalah berdasarkan kepada sistem perundangan tentera British yang terdahulu yang dikenali sebagai Queen’s Regulations  for Army 1955. Setelah negara ini mencapai kemerdekaan perundangan British itu telah diadaptasikan dan telah dijadikan akta oleh Parlimen dan dikenali sebagai Akta Angkatan Tentera 1972 ( Akta 77).
Sumber rujukan utama yang digunakan pakai di dalam sistem perundangan tentera pada hari ini adalah seperti berikut :
a.      Akta Angkatan Tentera 1972  ( AKTA 77).
b.      Peraturan - Peraturan Angkatan Tentera  (HUKUMAN MEDAN) 1975.
c.       Peraturan - Peraturan Angkatan Tentera  (BIDANG KUASA TERUS) 1976.
d.      Kaedah - Kaedah Angkatan Tentera  (LEMBAGA SIASATAN) 1976.
e.      Kaedah - Kaedah Angkatan Tentera (PENJARAAN DAN TAHANAN) 1976.
f.        Kaedah - Kaedah Angkatan Tentera (MAHKAMAH TENTERA) 1976.
g.      Polisi dan Arahan Semasa MAT, PAT dan Panglima - Panglima Perkhidmatan.

BIDANGKUASA TENTERA 

Sumber-sumber rujukan yang sepertimana dinyatakan di atas adalah merupakan sumber utama yang menyatakan dan  membincangkan bidang kuasa tentera di dalam mengendalikan sistem keadilan tentera. Bidang kuasa tentera mempunyai makna yang berbeza dalam konteks yang berlainan.  Ia meliputi salah satu atau semua aspek-aspek berikut:
            a.         Kuasa dan kebenaran untuk menguatkuasakan undang-undang tentera.

b.         Pentadbiran undang-undang tentera.

c.         Bidang kuasa agensi tentera untuk membicarakan sesuatu kes.

MEREKA YANG TERTAKLUK KEPADA UNDANG-UNDANG TENTERA

Bidang kuasa tentera meliputi semua pegawai dan anggota-anggota yang tertakluk kepada undang-undang perkhidmatan sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 209 hingga Seksyen 213 Akta AT 1972.  Mereka yang tertakluk adalah seperti berikut:

a.         Semua pegawai dan anggota di dalam perkhidmatan tetap.

b.         Semua pegawai dan anggota di dalam pasukan simpanan tetap semasa dalam tugas.

c.         Semua pegawai dan anggota pasukan sukarela semasa dalam tugas.

d.         Pegawai dan anggota pasukan asing yang ditumpangkan ke ATM yang tertakluk kepada 'Visiting Forces Act, 1960'.

e.         Orang awam yang diambil bekerja atau yang berkhidmat atau menyertai angkatan tetap semasa dalam perkhidmatan giat.  (Seksyen 3 Akta AT 1972 - Perkhidmatan Giat ertinya pasukan itu sedang bertempur atau berhadapan dengan musuh atau menjalankan gerakan-gerakan yang dijalankan terhadap pemberontak-pemberontak komunis di Semenanjung Malaysia.  Seseorang daripada pasukan yang berada dalam perkhidmatan giat, pergi bercuti ke sesuatu kawasan di mana keadaan perkhidmatan giat tidak ada akan masih kekal dalam perkhidmatan giat dalam tempoh ia bercuti itu, jika ia tidak ditugaskan kepada sesuatu pasukan yang tidak dalam perkhidmatan giat).

f.          Bekas tentera, yang mana semasa dalam perkhidmatan telah melakukan kesalahan yang boleh dibicarakan oleh mahkamah tentera, atau disyaki dengan munasabah telah  melakukan kesalahan, dan berkaitan dengan ini, mereka masih boleh diletakkan dalam tangkapan dan boleh dihukum oleh mahkamah tentera walaupun mereka telah berhenti daripada perkhidmatan, tetapi perbicaraan ke atas mereka hendaklah dimulakan dalam masa 3 bulan selepas mereka tidak lagi  tertakluk kepada undang-undang perkhidmatan (berhenti/ROD) sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 143(1) dan Seksyen 144(3) Akta AT 1972.

g.         Anggota yang melakukan kesalahan semasa dalam tangkapan atau tahanan, walaupun ketika itu tempoh perkhidmatannya telah tamat.  Tetapi sekatan masa untuk perbicaraan mesti dipatuhi.

AGENSI PENGUATKUASAAN.

Agensi - agensi yang mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan bidang kuasa keadilan tentera adalah seperti berikut:
a.         Pihak Berkuasa Atasan Yang Berkenaan, (PBAYB) Pegawai Memerintah atau Pemerintah, Komander Detacmen dan Komander Rendah apabila diwakilkan kuasa.

b.         Mahkamah Tentera.

 Mengikut Seksyen 2, dan Seksyen 101 (1) Akta AT 1972, Peraturan 4,5,6 dan 11 PPAT (Bidang Kuasa Terus) 1976, seseorang yang mempunyai kuasa Pegawai Memerintah adalah Pegawai, walau apa jua pangkatnya yang secara langsung memerintah pasukan di mana ia berkhidmat/bertugas atau yang dilantik  dan berhubung dengan seseorang yang dituduh atas sesuatu kesalahan ertinya Pegawai yang mempunyai kuasa untuk memerintah OKT itu.

Pada kebiasaannya, ianya adalah seorang Ketua Staf sesuatu formasi atau Pegawai Memerintah sesuatu pasukan besar atau Pegawai Pemerintah sesuatu pasukan kecil yang berkhidmat secara bebas, atau penggantinya yang diisytiharkan dengan sah.

Bagi  Komander Detacmen, mengikut Peraturan 7 PPAT (Bidang Kuasa Terus) 1976, kuasa penuh Pegawai Memerintah boleh diberi, tetapi jika ia berpangkat lebih rendah daripada pangkat Mejar, Pegawai Memerintahnya atau Pihak Berkuasa Atasan boleh mengehadkan kuasa yang diwakilkan jika difikirkan perlu.
   
Bagi  Komander Rendah pula, mengikut Peraturan 8 PPAT (Bidang Kuasa Terus) 1976, Pegawai Memerintah boleh mewakilkan, walau apa jua pangkatnya, kuasa untuk menyiasat dan menguruskan secara terus pertuduhan-pertuduhan yang boleh diuruskannya sendiri di bawah Peraturan 12 PPAT (Bidang Kuasa Terus) 1976; dengan syarat perwakilan itu tidak termasuk:

a.         Kuasa bagi menahan OKT untuk dibicarakan oleh Mahkamah Tentera.

b.         Kuasa bagi memerintah ringkasan keterangan diambil atau cabutan keterangan dibuat.

c.         Tidak boleh memberi hukuman ke atas PTT Kanan yang berpangkat atas daripada Koperal.